IPOH 26 Mei - Misteri kematian dua pelajar institusi pengajian tinggi
(IPT) di puncak Gunung Korbu dekat sini semalam terjawab hari ini
selepas laporan awal bedah siasat mendapati mereka mungkin meninggal
dunia kerana keracunan gas.
Gas berkenaan - yang dikatakan sama seperti gas untuk kegunaan
memasak - dinyalakan oleh mangsa, Rohan Seri Harith Nair, 23, dan Nur
Zahari Harun, 22, sebagai lampu tidur dalam khemah.
Gas berkenaan bocor tanpa disedari menyebabkan mereka yang tidur
dalam khemah yang tertutup lemas apabila terhidu gas itu dalam tempoh
yang lama.
Pakar Forensik Patologi Hospital Ipoh, Dr. Khairul Azman Ibrahim
ketika ditemui berkata, siasatan mendapati badan kedua-dua mangsa tidak
mempunyai kesan kecederaan disebabkan perbuatan jenayah.
''Unsur-unsur racun tidak dapat ditolak dalam menyebabkan kematian kedua-dua mangsa,'' katanya.
Setelah memeriksa mayat berkenaan, beliau juga mendapati terdapat
kesan lebam berwarna merah pada badan kedua-dua mayat termasuk pada
bahagian tangan.
Menurut Dr. Khairul, Rohan dan Nur Zahari meninggal dunia di antara tempoh empat hingga lapan jam dari masa ditemui. Menurut laporan, kedua-dua pelajar yang mengikuti ekspedisi mendaki
Gunung Korbu dekat sini disahkan mati setelah tiba di Hospital Ipoh
petang semalam.
Mereka dibawa turun dari puncak gunung itu ke hospital menggunakan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Kedua-dua pelajar itu tiba terlebih dahulu di puncak gunung itu
kira-kira pukul 8 malam kelmarin, meninggalkan 12 rakan ekspedisi yang
lain.
Mereka kemudian tidur tetapi apabila dikejutkan pada sebelah pagi oleh rakan-rakan, kedua-duanya didapati telah kaku.
Seorang rakan mereka menggunakan telefon bimbit untuk meminta bantuan kecemasan.
Menurut Dr. Khairul, maklumat terperinci mengenai kematian dua remaja
itu akan diketahui apabila laporan lengkap bedah siasat disiapkan dalam
tempoh terdekat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinta, Asisten Komisioner Ghazali
Ismail berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mendaki Gunung Korbu pada
masa ini kerana musim hujan.
Menurut Ghazali, mereka yang ingin mendaki gunung perlu mendapatkan nasihat dari mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam kes Gunung Korbu, mereka perlu menghubungi Balai Polis Tanjung Rambutan.
Kumpulan ekspedisi yang mendaki gunung tersebut kelmarin dilaporkan
tidak memaklumkan kepada polis atau Jabatan Perhutanan mengenai aktiviti
mereka.
Jurucakap Balai Polis Tanjung Rambutan ketika ditemui mengesahkan mereka tidak mendapat laporan daripada pelajar-pelajar itu.
Jurucakap Jabatan Perhutanan yang bertugas di Hutan Lipur Hulu Kinta
berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada kumpulan
ekspedisi itu untuk mendaki gunung tersebut.
Tinjauan Utusan di kawasan itu mendapati Jabatan Perhutanan
Negeri ada memasang notis mengingatkan orang ramai supaya terlebih
dahulu mendapat kebenaran jabatan itu sebelum mendaki Gunung Korbu.
Mengikut notis itu, mereka yang gagal berbuat demikian boleh didakwa
di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh
didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau
kedua-dua sekali.
RUJUKAN
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_04.htm