Gunung Murud 2022

INDAHNYA MURUD TAK TERGAMBARKAN

Jumaat, 21 Januari 2022
Bertolak dari KLIA2 ke Miri pada jam 4.45pm, penerbangan mengambil masa 2 jam untuk tiba di lapangan terbang Miri. Kekuatan 13 orang termasuk aku akan bersama dalam sebuah kembara ke Gunung Murud di pedalaman Negeri Sarawak. Buat pertama kalinya SOS bersama CORE didalam pendakian gunung tertinggi di Sarawak. Aku berada di seat 19B, kebetulan Emily berada di 19A, dan seorang Cina Sarawak disebelah 19C, jadi sepanjang penerbangan, ade juga rakan untuk berbual, dari cerita gunung ke cerita budaya, hingga ke isu politik, sampailah ke cerita sejarah. Setibanya kami di Miri, kami terus ke hotel My Homestay untuk menginap. Aktiviti hari pertama yang ringkas, kami berkenalan sambil menikmati hidangan di sekitar hotel, pekena ikan terubuk sarawak dan sesi briefing untuk esok. Kami rehat awal malam ini.
Sabtu, 22 Januari 2022
Seawal jam 4.30 am, kami bertolak ke airport, team kami yang pertama seramai 8 orang bertolak ke Lawas dulu, Aku, Eddy, Ita, Julia, Emily, Harjit, Haikal, dan Mar. Kami check in baggage dulu dan bersedia unt berlepas pada jam 7.00 pagi, 5 orang lagi terpaksa menaiki pesawat jam 10.55pm namun delay ke 11.40pm.
Penerbangan Maswing Miri ke Lawas menaiki pesawat jenis De Havilland Canada DHC-6-400 Twin Otter buatan Kanada ini mampu terbang dengan kelajuan 80 to 160 knots, dan dikategorikan sebagai STOL Aircraft (Short Take Off and Landing) sesuai untuk pengangkutan dari luar dan dalam pedalaman yang jauh untuk kenderaan darat akses. Semestinya pengalaman menaiki pesawat kecil ini adalah tarikan utama kami ke Gunung Murud. Ia seperti menaiki bas mini yang mampu terbang masuk ke kampung.
Jam 7.54am kami tiba di lapangan terbang Lawas. Disambit oleh Michael dan Martin dengan jentera 4X4 mereka yang tampak ranggi dan ready untuk misi kami ke lokasi seterusnya. Mereka adalah 4X4 driver merangkap guide kami selama ekspedisi kami. Sementara menunggu ketibaan 5 rakan lagi, sempat kami mencari sarapan pagi di sekitar pekan. Sambil ada yang mencari keperluan2 peribadi, aku dan Eddy mencuri peluang mencari bahan mentah masakan untuk mendaki nanti sebab beli di Lawas lebih murah berbanding di Ba'Kelalan.
Ba'Kelalan adalah sebuah desa yang akan kami tuju pada hari ini, lokasinya terletak 160km dari pekan Lawas, ia akan menyajikan panorama gunung ganang di sepanjang jalan. Jika di ikutkan ada sahaja penerbangan terus ke sana, tetapi atas faktor kapasiti dan flexibility kami memilih untuk merasa menaiki 4X4. Boleh dikatakan ini pertama kali seumur hidup aku naik 4X4 ke kaki gunung paling lama dan paling jauh.
Setibanya 5 orang rakan, Jinggo, Hairi, Lan, Raja dan Rem terus menuju ke destinasi, jam 1.20pm kami mula dengan 2 buah jentera. Martin membawa Hilux Revo singlecab sempurna dengan bumbung canvas dan seat, cukup selesa untuk perjalanan jauh dan lama. Michael pula membawa Toyota Land Cruiser jenis LC2 1991 yang sudah di modified ranggi selaku Lead Car.
Petang itu, cuaca mendung, terkadang gerimis mengundang cuma sekadar membasah pipi. Kami singgah di beberapa lokasi untuk rehat betulkan pinggang dan menjamu sedikit air panas dan snek. Sepanjang jalan, ada beberapa cafe yang buka sebagai lokasi R&R.
Kami tiba di Buduk Nur jam 7.20pm sudah pun gelap, sebuah guest house yang sangat klasik di desa Ba'Kelalan. Dimiliki oleh seorang bekas pejuang tanah Sarawak iaitu Pak Tagal (Tagal Paran), ia merupakan bapa kepada mendiang Dr Judson Sakai Tagal yang mengalami kemalangan jiwa ketika helikopter yang dinaiki terhempas di kawasan Gunung Murud pada tahun 2004. Mereka adalah suku Lun Bawang yang mempunyai 75 buah keluarga dengan 300 orang lebih populasi yang masih tinggal di desa ini.
Selesai solat, makan malam, aku terus jalankan tugas mengagihkan bahan mentah dan peralatan kepada semua rakan, disertakan taklimat perjalanan dari Eddy. Beg disusun dan peralatan mendaki disediakan malam itu dengan pelbagai perkongsian tips sesama kami. Aku dan Jinggo diperlukan secara mengejut sebagai porter tambahan kali ini, mujur kami sedia ada beg yang bersaiz besar.
Selesai kemas, kami lelapkan mata dengan kedinginan suhu malam itu yang agak nyaman. Hujan lebat sekejap sekejap diluar.
Ahad, 23 Januari 2022
Selesai Subuh, aku dah ready di bawah, mungkin agak teruja dengan aktiviti mendaki kali pertama di bumi kenyalang ini, sarapan pagi selesai, lunch pack pun sudah di ambil, kami mula menyusun beg didalam jentera 4X4. Hari ini masih berbaki 2 jam perjalanan kenderaan sebelum mula mendaki. Jam 9.00am kami bertolak. Jam 10.00am kami tersangkut sekejap di bukit tinggi, struktur jalan balak agak teruk kerana hujan lebat semalam, beberapa kali percubaan gagal menyebabkan kami terpaksa turun dari kenderaan. Selesai melepasi kawasan ini, kami teruskan perjalanan, melalui beberapa pos kawalan sempadan negara Malaysia-Indonesia. Ini kerana lokasi Gunung Murud terletak berhampiran garisan sempadan negara, iaitu negeri Kalimantan, Indonesia. Kami tiba di drop point jam 11.23am, tidak sampai pada lokasi sebenar akibat cerun tanah runtuh menutup jalan, lebih kurang 2 KM lagi untuk ke Lepo Bunga, starting point untuk mendaki. Pelan pelan kayuh, kami mendaki jalan tar pacak lebih kurang 30 minit.
Di Lepo Bunga, kami berehat makan tengahari sehingga jam 1.00pm pekena nasi lemak beras bario, sangat sedap.
Mula masuk pintu hutan, laluan mendaki pacak, tiada diskaun. Sepanjang laluan dihidang dengan lumut di sekitar pokok, banir dan batu. Kemudian memanjat tangga kayu yang merupakan simbolik laluan ini ke Check Point seterusnya iaitu Jambatan Sukacita (Joy Bridge). Hampir 2 jam, kami tiba dan berehat seketika. Bermula dari sini kami akan lalu di atas platform besi yang baru dipasang oleh komuniti kristian disini. Laluan platform ini mengambil masa dalam 20 ke 30 minit untuk tiba di kaki bukit Batu Linanit.
Oleh kerana hujan agak lebat, kami ambil keputusan untuk skip dahulu puncak Batu Linanit, dan terus short cut ke Church's Camp, iaitu sebuah desa yang dibina didalam hutan bagi tujuan penginapan penganut kristian yang datang setiap tahun untuk aktiviti keagamaan. Hujan semakin lebat, kami yang terawal tiba jam 5.27pm, sempat berteduh di bawah rumah. Sekita hujan berhenti, kami terus mencari rumah untuk menginap malam ini. Alhamdulillah dapat rumah berdekatan trek ke gunung esok. Malam itu kami selesai makan malam, kemaskan beg untuk esok, dan terus berehat. Dingin malam itu memang menusuk hingga ke tulang. Tidak hairanlah kerana Church's Camp berketinggian 2,090m.
Isnin, 24 Januari 2022
Seawal jam 5.00am aku dah mula bangun dan sediakan sarapan untuk semua, sambil yang lain mula bersiap siaga. Jam 8.40am kami mula bertolak dari kem melalui denai berpaya, mungkin kerana kekerapan hujan menjadikan keadaannya sentiasa lembab. Disini adalah Pulong Tau National Park yang mempunyai musim hujan sekitar november hingga mac setiap tahun. Sepanjang laluan banyak kesan kesan laluan air dan takungan lopak akibat hakisan air. Keadaan laluan semakin cantik di sekitar ini dengan hiasan lumut yang tebal, jauh cantik jika dibandingkan dengan Gunung Irau.
Kami di depan tiba di Check point air terjun, tepat jam 10.00am, satu environment yang menarik juga disini, batuan sungainya terbentuk semulajadi melalui hakisan air yang menjadikan batuan disini seperti jari jari yang memisahkan laluan sungai. Sangat cantik. Batuannya dilitupi lumut, diteduhkan dengan pokok pokok bonsai berlumut. Kami re-group sahaja disini kemudian teruskan mendaki. Hujan mulai renyai.
Laluan semakin mencabar melalui batu batu bongkah yang besar sehingga ke Check Point Taman Batu(Rock Garden) yang mana kawasan ini di taburi oleh beratus ratus batu bongkah yang mempunyai pelbagai bentuk hasil proses luluhawa. Kami berhenti makan tengahari disini dalam keadaan hujan gerimis jam 2.00pm.
Perjalanan diteruskan, laluan mendaki sedikit memacak, melalui laluan berlumut semula, lebih kurang 40 minit, kami yang depan pun tiba di puncak Gunung Murud yang berketinggian 2,423 m (7,949 ft). Jam 3.20pm semua telah berada di puncak. Wajah gembira terpampang dikalangan kami, akhirnya penantian selama 2 tahun berjaya juga untuk menawan puncak tertinggi di Sarawak ini, dan menyimpan koleksi G5 sendiri.
Selesai minum kopi, kami mula turun, dengan tiba tiba, hujan turun mencurah curah lebat. Kami pasrah turun dengan kesejukan basahan hujan. Jam 4.00pm adalah waktu mula turun.
Hujan yang masih tidak berhenti menyebabkan laluan kami tadi di limpahi air lelehan hujan dari seluruh kawasan tinggi menyebabkan laluan trek menjadi sungai kecil. Agak rumit bila berjalan didalam keadaan begini. Laluan yang tadinya mudah didaki, sepatutnya menjadi paling mudah dituruni, sekarang menjadi terpaling susah dilalui kerana deras air limpahan separas betis ke peha yang kami terpaksa tempuhi. Ada kawasan yang menjadi air terjun dari cerun, ada yang keluar dari celahan bonsai, ada yang melimpah keluar dari sungai asalnya, keadaan sangat kritikal ketika ini, dengan suhu yang semakin sejuk, hujan tanpa henti membuatkan kami tidak mampu berhenti lama, cukup sekadar berjalan perlahan demi keselamatan dari hypothermia.
Gunung Murud terletak di Banjaran Tama Abu dan merupakan pergunungan dataran tinggi, menjadikan strukturnya seperti bumbung rumah yang rata, apabila hujan turun, banyak kawasan ditadah air dan mula menurun ke satu titik terendah dimana air akan akan mengikut alur menuju ke satu "sungai segera" yg bergerak mengikut arah graviti. Semakin banyak kapasiti airnya, semakin deras tolakan air di laluan yang kami lalu, dan semakin banyak kawasan di landa limpahan sungai, semakin lambat pergerakan kami. Hampir saja kejadian meragut nyawa berlaku kerana keadaan sangat tidak terkawal, apabila ia berlaku didepan mata membuatkan aku agak tergamam dan sedikit traumatized sehingga kini.
Kami berjaya tiba di Church's Camp semula jam 11.45pm. Suhu teramat sejuk kerana basah hujan dan di belasah kedinginan angin. Malam itu kami makan bersama dan rehat lewat sekitar jam 1.40am. Penat, sangat penat.
Selasa, 25 Januari 2022
Jam 6.00am aku sudah bangun, agak terlewat bangun untuk sediakan sarapan pagi, yang lain masih berlawan dengkur. Pagi ini kami mengambil keputusan untuk bertolak lewat sedikit, menjemur segala kebasahan dan melawat lawat kawasan sekitar Church's Camp. Alhamdulillah pagi itu cuaca baik, langit membiru dan mentari menyengat panas. Jam 11.00am tepat kami bertolak pulang. Destinasi kami terus ke Puncak Batu Linanit yang berketinggian 2,240 meter dari paras laut. Kelihatan permandangan gunung ganang, separuhnya dilitupi awan, nun di tenggara kelihatan Gunung Murud tesergam indah. Sayangnya Batu Lawi tidak kelihatan kerana awan tebal. Cukup puas rasa berada di atas Batu Linanit, digelar sempena batu yang dulunya ditutup lumut, kemudian dibersihkan oleh orang kampung untuk dijadikan tempat suci menurut agama mereka. View di atas batu ini 360 darjah, boleh nampak pekan Ba'Kelalan dari kejauhan.
Jam 12.35pm kami mula bertolak turun, melalui jambatan sukacita, kemudian turun ke Lepo Bunga, mengambil masa lebih kurang 2 jam ke 3 jam. Aku berada di belakang kali ini sebagai posisi sweeper bersama Kak Ita, yang lain sudah maju kedepan. Kami dibelakang tiba jam 3.16pm di Lepo Bunga, kemudian menyambung jalan ke 4X4 drop point lebih kurang 25 minit, menuruni jalan tar agak menyucuk tulang lutut dan ibu jari kaki, pedih bukan kepalang, tapi apakan daya, tidak jalan maka tidak pulang.
Michael dan Martin dah pun bersidai tunggu kami, ditemani ugun api dan kopi buat pemanas badan, mereka bersama 2 lagi rakan yg membawa 4X4 ke-3 sebagai jentera backup. Mereka dah pun berada di lokasi seawal jam 11.00am, disana sudah pun tinggi elevasinya, jika menunggu sememangnya sejuk.
Kami bersorak gembira, jam 4.15pm tayar mula bergolek menuju ke desa Buduk Nur. Senyuman terpancar di wajah masing masing, sehingga lupa tentang perut yang kelaparan kerana tidak sempat makan tengahari. Jam 5.40pm kami pun tiba di Buduk Nur dan terus menyantap makan malam. Lega.
Selesai mandi, kami buat sedikit post moterm, sesi luahan hati dan perbincangan untuk penambahbaikan. Kami lena dan cukup tidur malam itu, cuaca agak baik untuk kami, selesa dan nyaman, mungkin salah satu faktor kami dah acclamatise dengan suhu dan elevasi tinggi.
Rabu, 26 Januari 2022
Pagi yang indah, aku bangun sedikit awal untuk menikmati matahari terbit, sayangnya awan tebal, hanya dapat melihat biasan sahaja, tapi tetap indah dimata berada di tengah tengah lembah gunung ganang yang hijau berselimut kabus, sekali sekala terpancar sinat mentari melalui lubang awan. Indah, sungguh indah.
Pagi ini kami menuju ke Cafe Kak Siska seberang dengan guest house kami, kami menuntut semula Nasi Lemak Bario yang kami makan masa mula mula mendaki hari itu. Anda boleh bayangkan betapa sedap nasi lemak ini sehingga kami boleh ingatnya 3 hari 3 malam.
Jam 9.16am kami mula bertolak pulang ke Lawas dengan jentera yang sama. Meninggalkan desa yang indah, penuh memori dan pengalaman. Perjalanan 4X4 mengambil masa yang lebih singkat berbanding sewaktu datang, kerana 80% fizikal jalannya banyak menurun. Hanya berhenti di kedai makan yang sama semasa kami datang untuk mengisi perut, kami terus menyambung perjalanan Kami tiba di homestay Lawas jam 4.30pm, checkin dan berehat sekejap, sehingga jam 5.30pm untuk keluar ke dobi layan diri. Lebih mudah begini untuk meringankan beban luggage sewaktu penerbangan nanti. Sambil menunggu pakaian siap kami makan malam bersama Michael. Malam itu kami berbual sambil Emily masakkan mee kari maggi untuk semua, Hairi sempat order Grab Food minuman kopi untuk kami. Di Lawas, kos makan sangat murah dan berbaloi untuk berbelanja.
Khamis, 27 Januari 2022
Pagi ini, kami bertolak pulang, berpisah seperti sebelum ini, 5 orang pertama yang akan terbang dahulu ke Miri, Aku, Eddy, Emily, Julia dan Ita pada jam 7.50am. Selebihnya menyusul kemudian pada jam 10.45am. Nasib kami kurang baik, jadual penerbangan telah ditukar ke pukul 2.00pm, maka 8 orang yang tadi akan berlepas dahulu diiringi ketawa menyakat. Jadi sempat kami pusing dengan Michael di pekan Lawas mencari Sambal Ikan Tahai dan Keropok Ikan Tahai yang agak popular di sini. Setelah salam perpisahan dengan Michael, kami bersidai di Cafe Airport Lawas sambil berbual. Kebetulan tidak diduga, Untie iaitu saudara Pak Tagal muncul, beliau adalah penjaga guest house di Buduk Nur, Ba'Kelalan tempoh hari. Rupanya jadual pesawat kami sama untuk menuju ke Miri, itu lah hikmahnya, dapat kami mengeratkan hubungan lagi dengannya, yang merupakan orang ternama di daerah ini, rata rata orang tempatan di airport sini semua kenal dan bertegur sapa dengan beliau.
Flight ke Miri tetap sama menggunakan Perkhidmatan Maswing, kami berlepas pada jam 2.30pm, dan tiba di Miri jam 4.20pm, cuaca baik Alhamdulillah. Selesai pickup beg, terus ke kaunter teksi untuk menyimpan beg dan menuju ke gedung kraftangan miri untuk mencari souvenir menaiki teksi airport. Terus singgah makan dan patah balik ke airport untuk check-in baggage.
Jam 6.15pm kami dah mula ready check-in baggage, hanya 11 orang sahaja yang pulang dahulu, manakala 2 orang lagi masih tinggal di Miri belum puas berjalan. Kami naik tingkat atas unt boarding pula, malangnya power bank Aukey kesayanganku terpaksa ditinggalkan atas faktor keselamatan, banyak kenangan dan sentimental value padanya, menurut pegawai keselamatan airport, ianya melebihi kapasiti 20,000mah dan 100watt. Tak mengapalah, aku ikhtiar juga, aku ke kaunter air asia dibawah dan merayu untuk dibawa masuk, katanya dia tak bole bantu, sebab dah issue, jadi dia hanya bantu menyimpan sementara dan aku perlu dapatkan seseorang untuk pickup darinya dalam masa terdekat, alhamdulillah, syukur masih ada insan yang berhati mulia. Jadi kebetulan Julia dan Ita masih ada 2 hari lagi di Miri, aku terpaksalah susahkan mereka untuk pickup Aukey ni. Alhamdulillah semua terurus.
Jam 9.57pm kami pun tiba di KLIA dengan selamat. Tamat sudah sebuah pengembaraan indah. Terima Kasih Eddy Jones sudi berganding bahu dalam menjayakan trip kali ini, thanks to Nuaim Syed selaku geng porter murud, thanks juga kepada Olix Raj , Matsumoto Hotate Uwade , Emily Kam , Jason King , Alia Ahmad , Ita, Rem, Mar, Lan, dan Hairi yang banyak memberi kerjasama dan saling membantu sepanjang trip. Seronok dan bahagia bersama korang semua macam keluarga sendiri. Moga kita dapat bersua kembali di Gunung Trusmadi selepas ini.
Musang Tampan, TBS
23.47, 27.01.2022
#sosnolb
#coreadventure
#gunungmurud
#g5 #g12
#sarawak