TNT Lower 2023 - Episod 2

GILA KENTANG


Dingin makin membeku,

Angin membadai sekali sekala, membuat pipi terasa beku, terus aku sarungkan buff ke seluruh muka, hanya ruang mata saja yg aku biarkan. Hood juga dipasang untuk menutupi kepala. Dingin sungguh terasa malam ini, setelah lama tak bermalam di puncak gunung. Aku masih duduk melunjur merenung keluar jendela khemah, memikirkan perjalanan yang masih berbaki 1 hari lagi ini.

Imbas semula hari kedua,

Jumaat, 10 November 2023.

"Bangun! Bangun!" 

    Den mula alarm seawal jam 5.00 pagi. Dia tahu kalau dia tak buat begitu sudah pasti akan lambat pergerakan harini. Sekali sekala terdengar Den terbatuk2 kuat. Aku dapat dengar, cuba unt bangun tapi tidak terdaya, manakan tidak kelmarin pun sudah tak tidur buat persiapan, semalam pula memandu, mendaki dan sweeping, jadi badan terasa penat sangat hingga tak sedar jam sudahpun menunjukkan 6.30 pagi. Aku bangun unt subuh dan terus menyiapkan sarapan dan makan tengahari. Pagi ni rasa bahagia sebab ramai yg hadir ke dapur membantu. Selesai bab makan, barulah aku boleh berkemas, sempat aku hulurkan Strepsils kpd Den kerana batuknya makin kuat, sakit tekak katanya, suara pun dah sengau seakan orang yg dia selalu ajuk, harapnya tidaklah kerana karma.

    Jam 8.33 pagi, Poncho beri taklimat perjalanan, target hari ini adalah Kem Kentang, macamana sekali pun tetap kena sampai walaupun jaraknya jauh. Ini supaya tidak mengganggu jadual esok lusa sebabnya hari pertama kita dah berhutang 3 jam unt ke Kem Balak Roll ditambah pula bertolak lewat dari Kem Rata Air ni sudah "interest" 3 jam juga dari jam 5 pagi. 


     Setelah bersegera kemas, jam 9.00 pagi tepat kami mula melangkah. Kali ini posisi aku di tengah, shift belakang di ambil oleh Kama, Iqbal dan Amar hari ini. 50 Minit mendaki kami tiba di Puncak Godil di ikuti 50 minit seterusnya ke Puncak Pine. Nama Godil ini diambil atas gabungan nama Goku dan Fadil semasa perjalanan V3 suatu ketika dahulu. 

    Puncak pine pula dinamakan sempena banyaknya pokok2 pine disekitar laluan puncak ni membuatkan aku terimbau semasa kami lalu di Lembah Bertak semasa buat TNT-Center dulu. Tidak jauh dari situ 25 minit ada checkpoint Puncak Lowbunk kerana kawasan puncak ini banyak kawasan berlubang. Lagi 25 minit kami bertemu Puncak Kembar kerana puncak ini jika dilihat dalam topo, bentuknya kembar 2 beradik, tapi kami cuma lalu puncak sebelah kanan sahaja. 


    Kami rehat makan tengahari di Kem Balak Roll setelah 35 minit jalan menurun. Untuk ke Kem Balak Roll ni perjalanannya banyak menurun curam, memang menggelongsor sahaja disebabkan tanah lereng yang licin ditambah pula terdapat beberapa batang balak kecil yg bertaburan, jika dipijak, akan bergolek dengan balak2 itu sekali. Maka tepat lah nama kem ini diberi. Kawasannya ada sungai kecil dan lapang untuk bermalam tetapi tidak besar. Yang dibelakang mula terpisah namun tidak terlalu jauh.

    Setiba disana tanpa buang masa, kami terus makan tengahari, sempat aku masakan air panas, Indocafe dan teh O menjadi pilihan kami. Sambil2 menunggu geng belakang sampai, kami sempat berbincang tentang penyusunan semula jadual jika berlaku delay. 

    Walaupun jarak nampak dekat dari dalam peta, namun keadaan fizikal trek bukanlah mudah unt dicabar memandangkan musim hujan dan kawasan tertutup juga banyak. Yang menjadi mudah sedikit bagi kami adalah lorong2 yg telah dibuka Jupem yg membuat penandaan batu sempadan negeri.

    Jam 2.15 petang, setelah semua pun sampai dan mengisi perut, kami sambung langkah menuju ke Puncak Pal selama 40 minit. Kenapa namanya Pal? Jawapan ini hanya boleh dicerita jika kita berada disana sahaja. Lepas 20 minit kami melintasi Puncak 1659 M, kemudian kami berada di Kem Kari selang 30 minit, dan bertemu helipad Jupem yg pertama selepas 30 minit dari Kem Kari. Kem 3 Series berada bersebelahan dgn helipad ini, boleh dikatakan kem ini menjadi pilihan Jupem sebagai lokasi bermalam mereka kerana terdapat beberapa bekas pondok tinggalan mereka dengan sampah2 botol air mineral. 


    Kami ambil masa berehat disini sambil menunggu beberapa org di bahagian belakang. Aku berada di posisi tengah melayani rakan2. Jam 5.45 petang, aku dan Topek tiba di persimpangan Gunung Surian, kelihatan geng depan sudah mula bersiap nak bertolak kerana telah sampai awal 30 minit dari kami, elok pun tidak tunggu lama sebab jarak ke lokasi bermalam masih jauh. Aku dan Topek segera ke puncak, kelihatan signboard TNT-Lower Gunung Surian telahpun dipasang. Terdapat kepingan besi signboard tinggalan sejarah pendakian gunung pada 5 Sept 1995. Topek banyak berbual dengan aku kali ni memandangkan kami jarang2 dapat seiringan bersama, dulu di TNT Upper pun dia sentiasa di hadapan.



    Alhamdulillah puncak pertama kami dalam jalur Lower ini telah pun ditawan pada ketinggian 1827 M, untuk kesini, pendaki perlu letakkan beg di simpang jalan, dan naik ke puncak tidak sampai 1 minit. Sama seperti naik ke puncak Gunung Bilah, ini kerana puncaknya kecil dan sempit. Geng belakang, Megu and the geng (Puteri, Man dan Syafiqah) dan Kama and the geng (Iqbal, Amar, Azrah, Eypa, Ana, Farah, Sal, Izer dan Ida)tiba disini antara pada jam 9.30 ke 10.00 malam. Mereka terpecah kepada 2 kumpulan kecil.

    Perjalanan diteruskan, kali ini sudah mulai turun dan sekali sekala naik. Selepas 2 jam termasuk rehat mghrib, kami pun tiba di Puncak 1676 M, kawasan ini amat keliru jika pendaki biasa yg belum mahir dengan jalan hutan kerana perlu pandai baca tanda lorong. Sejam kemudian melintasi Puncak PNS yang berketinggian 1726 M dan 20 minit ke Puncak Segitiga. Kawasan puncak ini berada dekat2 sahaja bertujuan menjadi checkpoint rehat dan regroup. 



    Akhirnya kami tiba di Kem Kentang jam 9.30 malam untuk bermalam seperti yg Poncho target. Kawasan kem ini agak semak disebabkan telah lama ditinggalkan dan berada di lembah. Terdapat sumber air sungai kecil disini, sesuai dibuat masak dan cuci. Den dan rakan2 lain menyiapkan banglow unt menginap buat rakan2 yg tidak membawa khemah sendiri, sementara aku dan Karo menyiapkan ruangan dapur yg akan jadi inapan kami berdua juga. Jennifer dan Ruey Peng masing2 memasang khemah personal, Sepul dan Pedot dengan hammock, Megu and the geng yang tiba sedikit lewat dengan banglow mereka sendiri, manakala Kama and the geng masih belum kelihatan. 

    Tanpa disuruh, semua pemilik ration berkod 3B, 3L dan 3D pun membuat serahan segera. Walaupun ada ration yg belum sampai, aku tak risau kerana yg ada dibelakang itu semua hanya unt digunakan esok. Yang nak di masak malam ini sudah pun dibawa siap oleh aku dan Karo. Malam itu, aku sediakan nasi putih dan Rendang Ayam bersama 2 jenis air iaitu Kopi O dan Teh O, pilihan lewat malam cukuplah yg O sahaja. Sambil menunggu yg belakang masih belum tiba, aku menjamu mereka makan dan masak nasi untuk esok. 

    Jam dah pun berada pd 00.00 namun kelibat orang di belakang masih belum ada. Hati aku mulai risau dan menduga pelbagai kemungkinan. Org yg menjadi kerisauan aku sudah tentu Sal dan Farah. Lebih mesra dgn panggilan Kak Sal, aku kenal dia semasa program Imaret di Pos Balar suatu masa dulu, bersama dgn Farah, diorg merupakan volunteer yg kerap turun padang membantu team dapur ketika misi Outreach Mobile Clinic. Farah pula mendapat jolokan Fara Giler kerana beliau merupakan seorang Doktor Psychiatric. Risau aku pada mereka kerana dah lama tidak mendaki jarak jauh. Farah sebelum ini bersama aku di TNT Upper pada 2019 dan Sal pula bersama aku di Benum Ulu Cheka pada 2022, turut serta masa ini ialah Ana.

    Oleh kerana masa makin lewat, aku terpaksa melelapkan mata sebentar tidur2 ayam sambil menunggu kepulangan mereka. Aku berpegang pada naluri kepercayaan aku pada anak buah aku 3 org ni iaitu Kama, Iqbal dan Amar. Aku yakin mereka amat pandai mengawal situasi. Jam 6.15pagi, mereka sampai! Alhamdulillah, walaupun lewat, terlihat senyuman pasrah mereka sudah cukup buat aku lega, mereka berjalan perlahan melayan trek menurun naik yang panjang, dan berehat Tidur Komando sahaja. Kami buat keputusan pagi itu unt memberi masa mereka rehat sebentar sementara tunggu siang. Mujurlah tidak hujan, jadi yang lelaki cuma baring di luar sahaja sementara tunggu siang.


(Bersambung)