TNT Lower 2023 - Episod 7

TIADA MAAF BAGIMU

Hari ini, hari ketujuh,
Rabu, 15 November 2023.

    Jam 6.22 pagi, langit sudah nampak bias biru, kedengaran beberapa org masih memacu dengkuran, ada yg bergoyang menggigil, ada yg masih membetulkan kedudukan tidak rata. Kama dihujung kelihatan lena menyandar di beg Arcteryx nya. Begitulah suasana kami sepanjang malam tadi. Aku keluar menyapa subuh, sempat lari ke hujung lorong melepaskan hajat kecil. Dingin pagi itu cuma tinggal angin, tiada lagi gerimis embun. Langit semakin mencerahkan tanah. Selang beberapa minit kemudian, Azrah bingkas bangun. Di ikuti beberapa org. "Bangun! Bangun! Nak jalan dah ni kome!" gertaknya. "Lagi lama kita kat sini, lagi lama la kita kat sini" sambungnya, bunyi macam kelakar tapi itulah realitinya.

"Korang kemas dulu, selagi korang tak kemas aku tak boleh nak kemas" pesanku.

    Pagi itu semua bangun dengan keadaan lemau, dalam keterpaksaan, Izer, Ana dan Sal yg dari semalam tidak menyalin hanya membuka balutan plastik sampah, Kama sempat memanaskan air unt diminum bersama, Farah masih membujur didalam sleeping bag, bersamanya Ida. Rahman dan Syafiqah pun dah mula perlahan mengemas. Aku mencuri masa sekejap untuk baring melelap mata, melihat Azrah yg dah pun duduk, aku mengambil giliran berbaring di tempat dia, bagaikan org mengantuk disorong bantal, dapatlah lena sejam sementara yang lain2 mengemas. Dihujung2 tidur aku terdengar org menegur, "Kay tak bangun lagi ke?" lantas Eypa menjawab "Dia baru je tido, semalam dia duduk je"

    Terdengar ayat tu hujung telinga, aku rasa syukur sebab ada sahabat yg amat memahami. aku lajakkan 5 minit lagi baringan, kemudian bingkas bangun dan mengemas. Sempat aku bersuara pada semua "korang semua kena ingat muka-muka ni dekat padang mahsyar nanti!" Sambil menunjuk seorang demi seorang "muka muka ni lah yg bersama2 susah payah kesini!" Sambungku. Ketawa mereka.

    Jam 9.30 pagi, Izer, Sal dan Ana dah mula menapak turun, yg lain ada yg dah pun siap tapi belum mahu bertolak. Aku dah mula kemas memandangkan ruang banglow dah mula kosong, pagi ni cerah berkemungkinan kerana malam tadi hujan panjang menghabiskan sisa2 wap air di atas. Setelah yg lain bertolak. Tinggal Aku, Puteri, Kama, Megu, Ida, Iqbal dan Amar di belakang. Ida masih perlahan bersiap, seperti mesin low battery, mungkin kerana kerja keras semalam dibantai 1688 yg brutal. 


    Puteri masih merawat kaki nya yg melecur akibat terkena kain panas semasa masak di puncak Gunung Kuar kelmarin. Sungguhpun begitu, dia pandai mengurus diri dan masa supaya tidak mengganggu masa program. Selesai mereka berjalan. Aku dan Megu pun membuka langkah, Kama, Amar dan Iqbal menyusul dibelakang.

    Keadaan menurun dari Berhid curam sepertimana naiknya semalam, cuma kali ini kami dah lali dengan perangainya, konturnya yg rapat menyebabkan fizikal laluan seperti menurun gelongsor, ditambah dengan halangan menunduk dari dahan2 bonsai yang banyak. Boleh bayangkan kalau kami teruskan semalam, mahu 2 3 org tersungkur, kejam juga treknya walaupun pendek. Sejam menurun curam kami berjumpa simpang Berhid-Kg Tuel iaitu laluan dari arah Kg. Tuel, Pos Ber. Salah satu simpang keluar kecemasan juga, merupakan laluan alternatif untuk ke Berhid single, cuma belum di komersialkan kerana berkemungkinan ada sedikit halangan dari OA Kampung Tuel di pintu masuk.

    Kemudian kami bertemu penempatan jupem dan helipad keenam, disini terdapat banyak bekalan air mineral yg ditinggalkan seperti baru sahaja. Tidak jauh dari sini adalah checkpoint Tabur Grand, merupakan lokasi unik yg terdapat dlm jalur TNT Lower ni, membawa hingga ke Puncak Bonsai, laluan ini menghidangkan panorama hijau seluas mata memandang, dengan hutan batu quartza dilitupi bonsai dan pohon cucur atap dan lumut putih yang cantik. 

    Uniknya disini, kita dapat melihat Puncak Gunung Berhid, Yong Yap, Bubu, Tok Nenek dan Dataran Tinggi Lojing dengan jelas.

Pohon cucur atap ini sering disebut cina maki, atau nama saintifik nya Baeckea frutescens merupakan sejenis tumbuhan herba, jika dipetik dilenyek daunnya akan mengeluarkan sejenis bau harum herba seperti kayu manis, sesuai dimasak dengan air teh.

    Berada di Tabur Grand seolah-olah menjalani satu terapi jiwa, rasa tenang dan damai bila dapat memerhatikan keadaan sekeliling nya. Aku, Megu, Rahman dan Puteri mencuri masa sebentar menjemur barangan basah sementara menunggu Kama, Iqbal dan Amar dibelakang, Azrah, Eypa, Farah dan Sal sudah mula mendaki ke Puncak Bonsai, hanya rain cover bag saja kelihatan dari jauh. Itulah tujuan warna raincover dibuat warna fluorescence supaya dapat dikenalpasti dari jauh. Kami sempat bersahut-sahutan. Tak lama kemudian Ana dan Ida pun muncul, mereka turun perlahan tadi dan telah dipintas aku selepas 10 minit menurun. Mereka tidak mengambil masa yg lama disini, lepas ambil gambar terus menuju ke Puncak Bonsai.

    Sambil berbual2 Megu dan Rahman mula bertolak ke Puncak Bonsai juga. Di ikuti Puteri. Setelah melihat kelibat Kama and the geng, aku terus angkat beg bertolak. Mendaki ke Puncak Bonsai 15 minit, nampak saja dekat, tapi nak menghadap dia boleh tahan juga, mujurlah panorama yg disajikan berjaya mengubat sengsara. Selesai bergambar di sini, Aku dan Puteri teruskan menurun hingga ke Simpang Yong Yap-Berhid selama 20 minit. Mengikut perancangan akhir semalam Poncho cuba nak bawa kami ke Kem Last Waterpoint Berhid dan terus menuju ke Puncak Yong Yap, namun bila terjumpa nota yg bertulis Kem OGKL serta simpang yang bertutup rapat, fahamlah aku yg misi ke Yong Yap dibatalkan. Kami proceed misi dasar sahaja tanpa bonus iaitu konservasi laluan TNT Lower sahaja, meninggalkan bonu Puncak Yong Yap, Bubu dan Tok Nenek disebabkan faktor masa, keadaan trek dan kondisi pendaki. Walau jauh disudut hati agak ralat, tapi aku berpegang pada hikmah, sekurang-kurangnya kami cuba untuk habiskan.

    Perjalanan turun sehingga Kem OGKL masih sama seperti tadi, tajam menurun meleteng gunung. Kedengaran Puteri yg gayat terjerit jerit menyumpah. Tapi kali ini tidak jauh hanya 20 minit sahaja. Di Kem OGKL, aku sempat bertemu Azrah, Eypa, Sal, Farah, Izer, Rahman dan Syafiqah. Mengikut maklumat yg disampaikan, geng depan malam tadi menunggu kita di helipad Tabur Grand sambil Tidur Komando juga dalam jam 1.15 pagi, kemudian tunggu kali kedua di helipad atas simpang YY-Berhid dari pukul 5.00 pagi sambil menyambung Tidur Komando sehingga jam 11.20 pagi, namun kerana keadaan semak yg agak kritikal akibat tumbangan pokok2 besar untuk ke arah Yong Yap, Poncho membuat keputusan bijak 'abort mission' dan pancung ke Kem OGKL 11.30 pagi tadi. Mereka bertemu sebelum kem OGKL dan informasi ini berjaya sampai kpd kami dibelakang.

    Jam menunjukkan tepat ukul 2.00 petang, perut mula lapar disebabkan kami tidak bersarapan tadi, hanya berbekalkan nasi putih lebihan semalam, kami ambil peluang berhenti makan sekejap kerana memikirkan perjalanan yang masih jauh. Lauk telur goreng dan Daging Hitam kepunyaan Ida menjadi santapan kami berlima iaitu aku, Megu, Puteri, Ana dan Ida. Kama, Iqbal dan Amar masih belum kelihatan, barangkali sengaja mengambil lajak kerana tahu pace perlahan orang di depan mereka. Sambil makan kami melaung2 memastikan geng dibelakang membalasnya. Alhamdulillah ada kedengaran menandakan mereka sudahpun hampir. Rupanya mereka lambat dibelakang tadi sebab berpesta mandi air Jupem di Tabur Grand, dasar bajang betul.



    Selesai makan, kami mendaki menuju ke persimpangan Kem Balak Pecah, hanya 35 minit. Aku mencari kawasan yang ada rangkaian telco disebelah arah Yong Yap, tapi tidak berjaya, tujuannya sudah pasti untuk memberitahu Adiza supaya tidak masuk terlalu awal seperti yang dirancang sebelum ini. Risau mereka menunggu lama. Powil yg Adiza tempah iailah Edy dan Adam. Aku menjangkakan jam 8.30 malam geng depan paling awal tiba. Puteri sudah mula melangkah laju memintas aku dan Megu. 

    Kami sempat menandakan kawasan simpang ini dengan nama Puncak Lower sebagai tanda penghormatan atas ekspedisi kali ini. Kebetulan kawasan ini berbentuk puncak. Kemudia terus meluncur laju turun ke Kem Balak Pecah. Kali ini kami berdua berjalan tanpa henti sehingga Kem Sungai Jerok meninggalkan Ana, Ida, Kama, Iqbal dan Amar di belakang.

    Di Kem Sungai Jerok kami berjaya bertemu geng di tengah dan kelihatan Den dan Pedot ada sekali menunggu kami. Syukur dapat tengok muka diorang setelah 2 hari terpisah. Selain Aku, Megu, Den dan Pedot, hadir bersama Rahman, Syafiqah, Azrah, Eypa, Puteri, Farah, Izer dan Sal. Kami sempat bergambar kenangan sementara ada peluang. Menurut Pedot, Poncho dan yg lain baru 30 minit bertolak, pesannya akan terus ke Sungai Rengil. Yang didepan dengannya Sepul, Sufri, Shakeys, Ruey Peng , Jennifer, Topek dan Karo. Aku lihat jam ditangan sudahpun pukul 5 petang, maka eloklah kami tidak rehat lama, selesai topup air minum, kami teruskan berjalan. 

    Aku seperti biasa mengambil posisi belakang bagi geng tengah ni. Setelah beberapa minit berjalan, mereka hilang dari pandangan, hanya tinggal aku, Megu dan Sal. Keadaan kaki Sal agak serius kerana dia pernah mengalami koyak ligamen lutut dan baru sahaja pulih, jadi mungkin trip kali ini boleh membuatkan luka lama berdarah kembali, jadi pergerakannya dijaga dengan teliti. Selepas sungai pertama kami melintas, hujan turun mencurah2. 

    Sungai demi sungai kami melintas dalam kerisauan takut paras air naik, setelah 15 anak sungai di harung selama 2 jam, kami tiba di Kem Agas tepat jam 7.00 malam. Kami berhenti maghrib sambil mengeluarkan lampu. Aku minta Megu dan Izer yang kebetulan dah sampai dahulu tadi untuk jaga Sal dan Farah, sementara aku perlu bergerak pantas keluar untuk uruskan lojistik. Mereka faham.

    Aku terus berlari anak menuju keluar. Cuaca masih hujan renyai kadang2 lebat. Seingat aku jalan ke Sungai Y Besar ni tidaklah jauh mana, tapi malam ni berjalan terasa nak tercabut lutut, punyalah lama melayan bekas jalan balak lama ni. Untuk sampai ke checkpoint Simpang Pokok Asam pun terasa jauh sangat. Ditambah dengan keadaan trek yg hancur berlumpur, mungkin disebabkan impak dari kehadiran pendaki yg terlalu ramai sebelum ini. Itulah pentingnya trail impact assessment. Selepas Simpang Pokok Asam, jalan semakin hancur disebabkan kawasannya banyak aliran anak air serta takungan lopak air. Hujan masih membasahi bumi, seolah menangisi kepulangan kami semua.

    Setelah 2 jam berjalan, aku bertemu Den di sebatang sungai, sedang mencuci kotoran agaknya. "Hg Okay tak?" Tegur aku. Fikirkan keadaan dia yg batuk kuat dan demam tempoh hari, aku risau ada kemungkinan akan mengganggu mood mendaki dia. "Okay dah!" Balasnya cergas. "Aku sweep Azrah dgn Eypa ni" tunjuknya ke arah tebing atas. Kelihatan mereka berdua sedang memanjat ke atas sambil membetulkan beg. Dari sini kami jalan bersama, sekurang-kurangnya ada juga peneman berbual, sempat kami imbau kenangan2 kami berempat sejak 2017 mencipta TNT. 

    Sedang asyik berbual kami tiba di satu sungai, nampak gaya air naik disebabkan hujan renyai panjang, paras air sungai nampak tinggi kerana kayu mati yg biasa aku duduk di sungai ini tenggelam habis. "Boleh cross tak ni?" Tanya Eypa, lantas aku memotong mereka menuju ke gigi air, kalau bab sungai ni, aku paling risau kalau biarkan peserta melintas sendiri tanpa dipantau apatah lagi dalam gelap malam dan keadaan air sungai naik. "Biar aku cross dulu!" Paras air berada di peha atas menghampiri pinggang, air agak deras, mujur tali yg kami pasang semasa program konservasi YYBTN tahun lepas masih kukuh.

    Kami tiba di Kem Sungai Y Besar selepas 40 minit berjalan. Cadang nak rehat di sini, tapi aku pesan supaya kita melintas dahulu sementara paras air tidak naik terlalu tinggi. Kami berehat di seberang iaitu di Simpang YY-Tok Nenek. Tak lama berehat, kami teruskan lagi perjalanan, kali ni melintas Sungai Tali Oren, diberi nama checkpoint ini sempena tali static yg dipasang bewarna oren semasa program Grato dahulu. Paras air naik tinggi disini kerana Sungai Rengil ini hasil gabungan 2 batang sungai besar. Airnya sangat deras, paras air ada yg hingga ke pinggang, walaupun kebanyakan paras peha, tetap menakutkan bagi orang yg tidak biasa. Terdapat 2 tali yg menjadi bantuan untuk melintas sungai ini. Sungguhpun memegang tali, tetap terasa beban ditolak air yg kuat. Den menjaga Eypa didepan dan Aku menjaga Azrah di belakang, inilah sahaja momen yg kami dapat rasa bersama sebagai rakan subahat TNT sepanjang trip kali ni, lain waktu sering terpisah.

    Den dan Eypa terus melangkah kedepan, meninggalkan aku dan Azrah di belakang. Kami berjalan mengharung bukit terbakar dengan sisa tenaga yg ada, kaki dah rasa nak tercabut, lutut dah jadi 'jelly' bak kata Azrah, bahu dah melkat isinya dengan padding bag, masa ini yang ada didalam otak hanyalah tilam dan bantal empuk. Sungguh terasa jauh, walhal biasa masuk laluan ini tak pernah sengsara begini. Mungkin faktor keletihan berjalan dari Berhid pagi tadi menjadi punca minda tidak mampu lagi menipu. Apa yg keluar dari mulut semuanya kejujuran hasil dari derita penat yang melampau, walaupun kawan kau sendiri yg kau terpaksa sembur. Kami menapak sedikit demi sedikit, Azrah mengulang2 soalan yg mungkin dia sendiri tidak sedar sudah berapa kali dilontarkan, aku menjawab sebaik mungkin supaya sahabat aku seorang ni dapat terus bertahan menapak sehingga luar.

    Akhirnya, kami tiba di jambatan gantung Sungai Rengil jam 11.45 malam, kelihatan dari jauh lampu2 berkeliaran disekitar kenderaan powil. Selepas melintas sungai terakhir, kami disambut sorakan rakan2 yg tiba awal tadi. 

    Alhamdulillah berjaya juga tiba sebelum jam 12.00 malam. Aku menegur Adam yg sedang menyusun beg di atas powil, "Onkel sampai pukul berapa tadi? Maaflah tunggu kami lama." Aku cuba berbasi-basi, "Eh, baru je masuk balik, tadi dah keluar dah pergi pickup Kak Linda, takde hal lah Kay, biasa lah tu" jelas Adam. 

    Menurutnya, powil dah pun masuk jam 7.30 malam tadi, namun Edy dan Adam keluar semula jam 9.30 malam, Adiza kekal menunggu, namun tidak lama selepas itu, jam 10.15 malam Poncho dan rakan di depan semua sampai, Adiza terus bawa mereka keluar dahulu seramai 8 orang iaitu Poncho, Sepul, Sufri, Shakeys, Jennifer, Ruey Peng, Topek dan Karo. Elokpun mereka keluar dahulu supaya tidak kesejukan dan berlapar menunggu. Jadi kami yg ada 8 orang disini buat keputusan untuk keluar dahulu dengan powil Adam. 

    Berdasarkan keadaan semasa 9 orang yang di belakang tertinggal sangat jauh, jangkaan yg aku beri masa itu mereka terpecah kepada 2 kumpulan kecil iaitu depan ada Megu, Izer, Sal dan Farah, manakala yg belakang ada Kama, Iqbal, Amar, Ida dan Ana. Yg depan aku jangka paling awal jam 3 pagi dan yg belakang jam 6 pagi. Perkara ini dijelaskan atas faktor kondisi Sal yg sakit lutut dan Ana dan Ida yg sakit kuku kaki ditambah pula jarak jauh malam ini yg sengsara. Rencana aku, aku akan masuk semula jam 2 pagi unt menjemput mereka. Kami tiba di RnR Lojing jam 12.30 malam, Alhamdulillah lega sungguh rasa dapat menjejak kaki di sini, Adiza hadir dengan senyuman manisnya menunggu aku sedari tadi. Walaupun perut lapar, hati masih belum tenang memikirkan rakan2 yg masih didalam. Mujurlah Adiza ada bekalkan kami bihun goreng sebagai alas perut.

(Bersambung lagi)